Wednesday, 10 April 2013

Sejarah Ringkas Konsili Gereja Katolik

Konsili atau consilium dalam bahasa Latin adalah suatu perkumpulan semua ahli teologi Gereja dan pimpinan tertingginya untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan doktrin, ajaran Gereja dan juga moral.

Menyusuri sejarah Gereja yang berusia lebih kurang 2000 tahun, sebanyak 26 konsili telah dilangsungkan, dan pelbagai perkara yang membentuk intipati ajaran Gereja pada zaman moden berasal daripada hasil keputusan-keputusan konsili terdahulu ini. 

Di sebalik banyaknya konsili ini, Gereja juga telah mengalami pelbagai cabaran dan cabaran inilah yang menggerakkan pimpinannya, berkat kuasa Roh Kudus, untuk melangkah memperbaiki urus tadbirnya serta meneguhkan iman umatnya.

Antara Konsili yang pada pandangan saya, memainkan peranan penting dalam membentuk doktrin Gereja adalah:

Konsili Pertama Nicea



Tahun: 325

Ianya adalah konsili pertama dalam sejarah Gereja. Antara perkara penting yang dibincangkan:

1) Hubungan antara Bapa dan Anak, iaitu Yesus Kristus. 
2) Tatacara perayaan Paskah


Konsili Konstantinopel

Tahun: 381


Konsili ini sebulat suara, seperti yang dilakukan dalam Konsili Nicea, menolak fahaman Arius, seorang pemimpin Gereja pada zaman itu yang menganggap entiti Putera dan Bapa adalah berasingan dan Dia tertakhluk pada sang Bapa. 

Arius dianggap sebagai bidaah (heretik) dan segala bukti dan buku mengenai ajarannya telah dimusnahkan oleh Gereja pada masa itu.

Konsili ini juga mengemaskini Syahadat Nicea dan menambahkan beberapa frasa di dalamnya, membentuk Syahadat Nicea-Konstantinopel seperti yang diucap di dalam Misa Kudus sekarang ini.

Konsili Efesus

Tahun: 431

Di dalam konsili inilah secara rasminya Maria ibu Yesus diangkat secara rasmi oleh Gereja sebagai Theotokos (Pembawa Tuhan, God-bearer). Ia juga menolak fahaman Nestorius, yang menafikan dualisme Yesus, iaitu sungguh manusia dan sungguh Allah. 


Ikon terkenal Bonda Maria menurut budaya Gereja Katolik Greek (Yunani),
 Bonda Bantuan Abadi. 

Konsili Nicea Ke-2

Tahun: 787

Pada masa sebelum konsili ini diadakan, ikonoklasme atau pemusnahan ikon atau gambar suci giat berlaku, samada bermotif keagamaan atau politik. Banyak gambar suci Yesus, Maria, para malaikat dan para kudus dihapuskan dari dinding gereja pada masa itu.


Gereja ini telah menerima kesan ikonoklasme, di mana semua lukisan di atas bumbungnya
telah dipadamkan dan diganti dengan lukisan salib yang ringkas.

Konsili ini, secara rasminya menolak amalan tersebut dan menghidupkan semula amalan menghormati gambar-gambar (serta patung) suci Yesus, Maria dan para kudus. 

Ianya juga telah memberi keterangan secara terperinci mengenai perbezaan menyembah patung atau gambar dengan menghormati gambar atau patung dalam Gereja. 

Konsili Lateran Ke-3

Tahun: 1179

Konsili ini menetapkan, hanya kardinal sahaja yang akan terlibat dalam pemilihan Sri Paus yang baru. Pada zaman sebelum konsili ini berjalan, pemilihan Sri Paus seringkali dipengaruhi kuasa politik kerajaan besar di Eropah. Akibatnya, Gereja pada masa itu tercemar dengan skandal politik yang serius sehingga aspek kerohanian umat terabai. 


Paus Alexander III, Sri Paus yang merasmikan pembukaan Konsili Lateran Ke-3

Konsili Lateran Ke-4

Tahun: 1214

Doktrin Transubstansi (Roti dan Anggur bertukar menjadi Tubuh dan Darah Sejati Kristus semasa Konsekrasio dalam Misa Kudus) dan kewibawaan Uskup Roma adalah antara perkara penting yang disentuh dalam Konsili ini. 


Hoc Est Enim Corpus Meum. (Inilah TubuhKu) 


Antara doktrin penting Gereja, Kehadiran Sejati Kristus dalam roti yang diterima dari paderi semasa Penyambutan. 

Konsili Trente

Tahun: 1545-1563

Konsili ini adalah antara konsili yang paling mencabar dalam sejarah Gereja, kerana ianya diadakan pada masa kebangkitan Protestanisme semakin meningkat. 

Antara hasil perbincangan di dalam Konsili ini adalah:

1) Gereja (ie pimpinan tertingginya, iaitu Sri Paus) adalah penafsir mutlak Kitab Suci. 

2) Perkaitan antara iman dan perbuatan dalam karya keselamatan diterangkan secara terperinci, dan dengan demikian menolak ajaran Luther, "Dibenarkan hanya oleh iman"


Martin Luther, bapa pendiri Protestantisme.

3) Sakramen-sakramen Gereja adalah tanda rahmat Allah dan Ekaristi adalah puncak diantara semuanya. 

4) Tatacara perayaan Misa Kudus dan Ibadat Harian diselaraskan. 


Misa Tridentina yang dirayakan di Gereja Katolik.

5) Alkitab dan Tradisi Rasuli diterima sebagai tunggak utama Gereja. 

Konsili Vatikan Pertama

Tahun: 1870


Paus Pius XI, Sri Paus yang merasmikan pembukaan Konsili Vatikan Pertama.

Konsili yang pertama kali diadakan di Kota Vatikan, ia meneguhkan kedudukan kewibawaan Uskup Roma dalam pentadbiran tertinggi Gereja dan dogma infalibilitas Sri Paus, iaitu segala ajaran yang disampaikan oleh Petrus dan pewarisnya (ie Bapa Suci Paus) terpelihara dari segala kemungkinan kesilapan. 

Konsili Vatikan Ke-2

Tahun: 1962-1965

Konsili pertama di zaman moden, yang menyentuh tentang peranan Gereja dalam menyusuri zaman moden, dan pembaharuan dari segi liturgi dan hubungannya dengan gereja Kristian serta kepercayaan lain.


Misa Paulus VI, Misa Kudus yang telah diperbaharui dari segi ornamen Misa, Kalendar Gereja,
penyederhanaan busana imamat dan kerumitan upacara Misa. 


Paus Benediktus XVI merayakan Misa Kudus Paulus VI. Beliau dikenali di kalangan para "traditionalist" atau pro-tradisi di mana beliau mengekalkan ornamen Misa yang indah di atas altar.


Semasa Paus Benedict XVI merayakan Misa, beliau seringkali memperkenalkan semula tradisi lama para uskup kuno dalam merayakan Misa, contohnya memakai dalmatik di dalam kasulanya dan kasut merah, dan dalam gambar ini, pakaian yang menutupi dada beliau dikenali sebagai fanon, yang pada masa sebelum pembaharuan liturgi dipakai hanya oleh Sri Paus. 

No comments:

Post a Comment