Sunday, 23 June 2013

Liturgi Waktu, Solat 7 Waktu Umat Katolik (Bahagian II)

Saya sambungkan dari post terdahulu ya.

4) Ibadat Tertia

"Hora Tertia" atau Jam Ke-3, merujuk kepada tempoh masa 3 jam selepas bermulanya Ibadat Prima. Dalam tradisi Kristian, nombor 3 dianggap sebagai nombor yang suci di mana ia mewakili Tritunggal Maha Kudus yang Maha Sempurna.


Oleh yang demikian Ibadat Tertia, pada zaman pertengahan juga dikenali sebagai "Jam Kudus", dan disimbolkan sebagai memperingati "waktu Yesus dijatuhi hukuman mati". Ianya dirayakan dalam pukul 9.00 pagi.

Urutan ibadat:

a) Versikel Pembukaan
b) Lagu Pujian
c) 3 set Mazmur dengan hanya satu Antifon
d) Pembacaan Singkat dan Antifon Tanggapan.
e) Doa Penutup dan Berkat.


Gambar sebelah:
Yesus dijatuhi hukuman mati.


5) Ibadat Sekte 

Antara perkara yang paling diingati dalam Kisah Sengsara Yesus adalah penyalibanNya yang berlangsung sekitar waktu tengahari. Ibadat Sekte mengimbau kembali memori sengsara Tuhan yang paling besar ini.




Ianya juga mengingatkan para umat Tuhan tentang rahmatNya yang besar, terutamanya pada saat tengahari, di mana matahari berada separuh perjalannya di langit dan dengan demikian, bersinar terang sekali pada masa itu.

Ibadat ini, sebagaimana telah dinyatakan, dirayakan pada waktu tengahari, yakni pukul 12.00 dan urutannya adalah sama seperti pada Ibadat Terce, hanya Lagu Pujian, Mazmur, pembacaan dan doa penutupnya berbeza.



6) Ibadat Nona

Ibadat pukul 3.00 petang ini memperingati wafatnya Kristus, saat Dia menyerahkan nyawaNya.

Sebagai kesimpulan, Ibadat Terce, Sekte dan Nona menyempurnakan kisah sengsara Tuhan Yesus dalam rencanaNya menyelamatkan umat manusia.

Urutan Ibadat ini adalah sama seperti Terce dan Sekte.

Gambar sebelah:
Tabir Bait Suci Terbelah



7) Ibadat Vesper



Ibadat senja ini dirayakan pada masa terbenamnya matahari, iaitu sekitar pukul 6.00 petang. Dalam tradisi orang Yahudi, "korban senja" dipersembahkan pada masa ini dan Ibadat Vesper menghidupkan semula memori "korban" ini.

Urutannya adalah seperti berikut:

a) Versikel pembukaan
b) 5 set Antifon dan Mazmur diikuti ulangan Antifon
c) Pembacaan Singkat
d) Lagu Pujian
e) Antifon Singkat
f) Antifon Kidung Maria, nyanyian Kidung Maria dan ulangan Antifon.
g) Doa Penutup dan Berkat

Akhir sekali, terdapat satu Ibadat terakhir yang dilaksanakan sebelum tidur. Ianya dikenali sebagai Kompletorium. Ianya sebagai memohon berkat atas segala pekerjaan yang telah dilakukan sepanjang hari dan memohon perlindungan Tuhan sebelum berehat.


Gambar sebelah:
Simeon bertemu Maria dan Yusuf di Bait Allah.

Urutannya adalah seperti berikut:

a) Versikel Memohon Berkat
b) Pembacaan dari Surat Pertama Petrus ayat 5.
c) Versikel Sebelum Pengakuan Umum Dosa
d) Pengakuan Umum Dosa (Saya Mengaku kepada Allah...)
e) Versikel Memohon Keampunan
f) Versikel Pembukaan




g) 3 set Mazmur dengan satu Antifon.
h) Lagu Pujian
i) Pembacaan Singkat dan Antifon Tanggapan
j) Antifon Singkat
k) Antifon Kidung Simeon, nyanyian Kidung Simeon dan ulangan Antifon.
l) Doa Malam
m) Doa Penutup dan Berkat Akhir
n) Lagu Pujian buat Santa Perawan Maria dan Doa, diikuti Berkat.

Post berikutnya, saya akan menyentuh tentang Liturgi Waktu selepas pembaharuan liturgi.

Saturday, 22 June 2013

Liturgi Waktu, Solat 7 Waktu Umat Katolik.

Solat 7 waktu? 

Mesti ada yang terkejut, orang Katolik pun ada solat? Solat berasal dari perkataan Arab yang bermaksud "Sembahyang", jadi jangan hairan jika Liturgi Waktu boleh disamakan dengan solat orang Islam yang didirikan 5 kali sehari, cuma dalam Liturgi Waktu, ianya dilaksanakan 7 kali.


dua orang biarawan sedang khusyuk membaca Ibadat Waktu. 


Liturgi Waktu, dalam tradisi Kristian, berakar umbi dari budaya agama Yahudi, yang juga melaksanakan ibadat harian mereka pada ketetapan waktu tertentu dalam sehari. Santo Benediktus, iaitu bapa pendiri kebiaraan Barat, menjadi pelopor bagi penyusunan waktu ibadat harian sistematik yang digunakan Gereja pada zaman sekarang.

Secara ringkas, sebelum pembaharuan liturgi, terdapat 7 Waktu di mana Gereja telah menetapkan untuk dilakukan ibadat.

1) Ibadat Matina 



Di waktu tengah malam yang gelap di saat orang sedang tidur, para biarawan bangun dan bersama menyatakan kerinduan mereka memuji Allah seperti yang pernah dimazmurkan Daud dalam Mazmur 119:62 "Tengah malam aku bangun hendak memuji Engkau, karena keputusan-keputusan yang adil."


Ianya dilaksanakan di waktu tengah malam atau dinihari, iaitu sebelum datangnya subuh. Dalam tradisi awal Kristian, ibadat ini juga dikenali sebagai Vigil, dimana ia disimbolkan sebagai "ibadat menanti sang mempelai", yakni Kristus.

Secara ringkas, urutan ibadat ini adalah seperti berikut:

a) Versikel Pembukaan
b) Antifon Pembukaan dan Mazmur
c) Lagu Pujian
d) 3 set Antifon, Mazmur dan ulangan Antifon [dikenali sebagai Nokturna I]
e) 3 set pembacaan, setiap satu set dimulakan dengan pembacaan dari Alkitab dan diikuti dengan teks pengajaran dari Bapa Gereja atau dokumen rasmi Gereja dan diakhiri dengan antifon tanggapan.
f) 3 set Antifon, Mazmur dan ulangan Antifon [Nokturna II]
g) 3 set pembacaan seperti dalam (e)
h) 3 set Antifon, Mazmur dan ulangan Antifon [Nokturna III] 
i) 3 set pembacaan seperti dalam (e)
j) Nyanyian Kidung Te Deum (pada hari Ahad dan Hari Raya Gereja)
k) Doa Penutup

2) Ibadat Lauda

Kebiasaanya, ibadat ini digabungkan dengan Matina kerana sangat dekat antara satu sama lain, dan disimbolkan sebagai "terang Kristus yang terbit ke seluruh dunia". Ianya dilaksanakan pada waktu subuh, iaitu sebelum kelihatannya sinar pertama matahari.



Urutan ibadat:

a) Versikel Pembukaan
b) 5 set Antifon, Mazmur (dan Kidung Alkitab) dan ulangan Antifon.
c) Pembacaan Singkat dan Antifon Tanggapan
d) Lagu Pujian
e) Antifon Singkat
f) Antifon Kidung Zakaria, Nyanyian Kidung Zakaria dan ulangan Antifon
g) Doa Penutup dan Berkat.


Gambar sebelah:
Waktu awal pagi, sejurus sebelum sinar matahari kelihatan.








3) Ibadat Prima

Ibadat Jam Pertama ini dirayakan selepas lebih kurang sejam matahari bersinar, iaitu lebih kurang dalam pukul 6 pagi di negara tropika.

Urutan ibadat:

a) Versikel Pembukaan
b) Lagu Pujian
c) 3 set Antifon, Mazmur (atau Pernyataan Iman Athanasius) dan ulangan Antifon.
d) Pembacaan Singkat dan Antifon Tanggapan
e) Antifon Singkat
f) Doa Permohonan
g) Pengakuan umum dosa (Saya Mengaku Kepada Allah...) dan Absolusi
h) Doa Berkat Pagi dan Berkat Penutup.
i) Martirologi (Pembacaan Senarai para Kudus Gereja yang Martir untuk hari tersebut)
j) Pujian terhadap Santa Maria dan Tritunggal Maha Kudus diikuti Doa
k) Pembacaan Singkat dan Versikel Memohon Berkat Tuhan.

Akan bersambung...:-)

Wednesday, 10 April 2013

Sejarah Ringkas Konsili Gereja Katolik

Konsili atau consilium dalam bahasa Latin adalah suatu perkumpulan semua ahli teologi Gereja dan pimpinan tertingginya untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan doktrin, ajaran Gereja dan juga moral.

Menyusuri sejarah Gereja yang berusia lebih kurang 2000 tahun, sebanyak 26 konsili telah dilangsungkan, dan pelbagai perkara yang membentuk intipati ajaran Gereja pada zaman moden berasal daripada hasil keputusan-keputusan konsili terdahulu ini. 

Di sebalik banyaknya konsili ini, Gereja juga telah mengalami pelbagai cabaran dan cabaran inilah yang menggerakkan pimpinannya, berkat kuasa Roh Kudus, untuk melangkah memperbaiki urus tadbirnya serta meneguhkan iman umatnya.

Antara Konsili yang pada pandangan saya, memainkan peranan penting dalam membentuk doktrin Gereja adalah:

Konsili Pertama Nicea



Tahun: 325

Ianya adalah konsili pertama dalam sejarah Gereja. Antara perkara penting yang dibincangkan:

1) Hubungan antara Bapa dan Anak, iaitu Yesus Kristus. 
2) Tatacara perayaan Paskah


Konsili Konstantinopel

Tahun: 381


Konsili ini sebulat suara, seperti yang dilakukan dalam Konsili Nicea, menolak fahaman Arius, seorang pemimpin Gereja pada zaman itu yang menganggap entiti Putera dan Bapa adalah berasingan dan Dia tertakhluk pada sang Bapa. 

Arius dianggap sebagai bidaah (heretik) dan segala bukti dan buku mengenai ajarannya telah dimusnahkan oleh Gereja pada masa itu.

Konsili ini juga mengemaskini Syahadat Nicea dan menambahkan beberapa frasa di dalamnya, membentuk Syahadat Nicea-Konstantinopel seperti yang diucap di dalam Misa Kudus sekarang ini.

Konsili Efesus

Tahun: 431

Di dalam konsili inilah secara rasminya Maria ibu Yesus diangkat secara rasmi oleh Gereja sebagai Theotokos (Pembawa Tuhan, God-bearer). Ia juga menolak fahaman Nestorius, yang menafikan dualisme Yesus, iaitu sungguh manusia dan sungguh Allah. 


Ikon terkenal Bonda Maria menurut budaya Gereja Katolik Greek (Yunani),
 Bonda Bantuan Abadi. 

Konsili Nicea Ke-2

Tahun: 787

Pada masa sebelum konsili ini diadakan, ikonoklasme atau pemusnahan ikon atau gambar suci giat berlaku, samada bermotif keagamaan atau politik. Banyak gambar suci Yesus, Maria, para malaikat dan para kudus dihapuskan dari dinding gereja pada masa itu.


Gereja ini telah menerima kesan ikonoklasme, di mana semua lukisan di atas bumbungnya
telah dipadamkan dan diganti dengan lukisan salib yang ringkas.

Konsili ini, secara rasminya menolak amalan tersebut dan menghidupkan semula amalan menghormati gambar-gambar (serta patung) suci Yesus, Maria dan para kudus. 

Ianya juga telah memberi keterangan secara terperinci mengenai perbezaan menyembah patung atau gambar dengan menghormati gambar atau patung dalam Gereja. 

Konsili Lateran Ke-3

Tahun: 1179

Konsili ini menetapkan, hanya kardinal sahaja yang akan terlibat dalam pemilihan Sri Paus yang baru. Pada zaman sebelum konsili ini berjalan, pemilihan Sri Paus seringkali dipengaruhi kuasa politik kerajaan besar di Eropah. Akibatnya, Gereja pada masa itu tercemar dengan skandal politik yang serius sehingga aspek kerohanian umat terabai. 


Paus Alexander III, Sri Paus yang merasmikan pembukaan Konsili Lateran Ke-3

Konsili Lateran Ke-4

Tahun: 1214

Doktrin Transubstansi (Roti dan Anggur bertukar menjadi Tubuh dan Darah Sejati Kristus semasa Konsekrasio dalam Misa Kudus) dan kewibawaan Uskup Roma adalah antara perkara penting yang disentuh dalam Konsili ini. 


Hoc Est Enim Corpus Meum. (Inilah TubuhKu) 


Antara doktrin penting Gereja, Kehadiran Sejati Kristus dalam roti yang diterima dari paderi semasa Penyambutan. 

Konsili Trente

Tahun: 1545-1563

Konsili ini adalah antara konsili yang paling mencabar dalam sejarah Gereja, kerana ianya diadakan pada masa kebangkitan Protestanisme semakin meningkat. 

Antara hasil perbincangan di dalam Konsili ini adalah:

1) Gereja (ie pimpinan tertingginya, iaitu Sri Paus) adalah penafsir mutlak Kitab Suci. 

2) Perkaitan antara iman dan perbuatan dalam karya keselamatan diterangkan secara terperinci, dan dengan demikian menolak ajaran Luther, "Dibenarkan hanya oleh iman"


Martin Luther, bapa pendiri Protestantisme.

3) Sakramen-sakramen Gereja adalah tanda rahmat Allah dan Ekaristi adalah puncak diantara semuanya. 

4) Tatacara perayaan Misa Kudus dan Ibadat Harian diselaraskan. 


Misa Tridentina yang dirayakan di Gereja Katolik.

5) Alkitab dan Tradisi Rasuli diterima sebagai tunggak utama Gereja. 

Konsili Vatikan Pertama

Tahun: 1870


Paus Pius XI, Sri Paus yang merasmikan pembukaan Konsili Vatikan Pertama.

Konsili yang pertama kali diadakan di Kota Vatikan, ia meneguhkan kedudukan kewibawaan Uskup Roma dalam pentadbiran tertinggi Gereja dan dogma infalibilitas Sri Paus, iaitu segala ajaran yang disampaikan oleh Petrus dan pewarisnya (ie Bapa Suci Paus) terpelihara dari segala kemungkinan kesilapan. 

Konsili Vatikan Ke-2

Tahun: 1962-1965

Konsili pertama di zaman moden, yang menyentuh tentang peranan Gereja dalam menyusuri zaman moden, dan pembaharuan dari segi liturgi dan hubungannya dengan gereja Kristian serta kepercayaan lain.


Misa Paulus VI, Misa Kudus yang telah diperbaharui dari segi ornamen Misa, Kalendar Gereja,
penyederhanaan busana imamat dan kerumitan upacara Misa. 


Paus Benediktus XVI merayakan Misa Kudus Paulus VI. Beliau dikenali di kalangan para "traditionalist" atau pro-tradisi di mana beliau mengekalkan ornamen Misa yang indah di atas altar.


Semasa Paus Benedict XVI merayakan Misa, beliau seringkali memperkenalkan semula tradisi lama para uskup kuno dalam merayakan Misa, contohnya memakai dalmatik di dalam kasulanya dan kasut merah, dan dalam gambar ini, pakaian yang menutupi dada beliau dikenali sebagai fanon, yang pada masa sebelum pembaharuan liturgi dipakai hanya oleh Sri Paus. 

Saturday, 6 April 2013

Deus In Adjutorium Meum Intende : Ya Allah, Datanglah Membantu Daku.

Versikel yang menjadi tajuk post ini diucapkan atau dinyanyikan semasa memulai Ibadat Harian (Liturgia Horarum).

Gereja di sepanjang zaman, telah terus menerus memohon rahmat dan perlindunganNya, melalui Ekaristi, doa dan devosi serta melalui perantaraan para Kudus.

Sememangnya, kesatuan kita dengan para penghuni syurga, yakni para Kudus ini tidak pernah putus dan menjadi sebahagian daripada pelukan iman orang Kristian (Katolik dan gereja-gereja lain yang mengucapkan syahadat Nicea-Konstantinopel).

Begitu juga saya. Setiap orang pasti ada para kudus "favourite" mereka sendiri, dan saya juga tidak berkecuali. 

Post ini saya akan tumpukan pada penerangan setiap para kudus yang saya pilih pada post pertama. 

Santa Teresa dari Anak Yesus.

Tarikh Peringatan: 1 Oktober. 
Penaung bagi: Penderita HIV/AIDS dan batuk kering, Pekebun bunga, Anak-anak yatim piatu

Dia adalah seorang religius sister yang melayani dalam kongregasi Karmel, yang mana kerohanian kongregasi ini sangat saya kagumi. Sifat "Anak Kecil" Santa Teresa dalam mencapai kesatuan dengan Yesus menyentuh hati ramai orang, dan kini ramai orang menjadikannya santa penaung bagi gereja, kumpulan dan idola rohani.

Santo Fransiskus dari Assisi.

Tarikh Peringatan: 4 Oktober
Penaung bagi: Negara Itali, Alam Sekitar, Haiwan

Bapa pendiri kongregasi Fransiskan ini menghidupi Injil dengan sepenuh-penuhnya, memiliki kerohanian yang unik dan penyayang pada semua makhluk dan ciptaan Tuhan. Dia adalah penaung para ahli ekologi dan saintis, dan sesuai dengan kedudukan saya sebagai pekerja dalam bidang sains, saya menjadikannya penaung dalam pekerjaan harian. 

Santo Benediktus dari Nursia

Tarikh Peringatan: 11 Julai
Penaung bagi: benua Eropah, Para Biarawan dan religius

Beliau adalah pendiri kebiaraan Barat, yang mana telah menggariskan tatacara asas kehidupan membiara bagi para biarawan dan biarawati. Kongregasi yang didirikannya, iaitu Benediktin, telah menjadi asas bagi perkembangan ilmu di Eropah serta Tradisi Gereja yang telah bertahan sepanjang zaman. 

Santo Francesco Possenti

Tarikh Peringatan: 28 Februari
Penaung bagi: Belia, Paderi, Seminarian, Pelajar 

Dia adalah penaung bagi para belia Katolik. Beliau menyertai kongregasi kepaderian Passionist dan mengambil nama Gabriel dari Bonda Berduka. Kisah hidup beliau sangat menyentuh hati saya secara peribadi, di mana, biarpun dia mengetahui bahawa dia akan mati oleh batuk kering (kerana pada masa itu, belum ada penawar baginya), dia tetap bersukacita dan terus-menerus hidup dalam kerohanian yang mendalam terhadap Tuhan dan Bonda Berduka. 

Santa Maria Goretti

Tarikh Peringatan: 6 Julai
Penaung bagi: Remaja perempuan, Mangsa jenayah, Belia

Dia adalah seorang syahid, yang mati dibunuh oleh seorang lelaki yang cuba mencabul kehormatannya. Dia berusia 12 tahun pada masa itu. Di saat kematiannya, dia mengampuni pembunuhnya dan berharap akan bertemu dengannya di syurga. Pembunuh tersebut dipenjarakan selama 30 tahun, dan selepas dia dibebaskan, dia memohon keampunan daripada ibu Maria Goretti dan akhirnya menyertai Fransiskan. 

Santa Maria Orang Mesir

Tarikh Peringatan: 3 April
Penaung bagi: Mereka yang berjuang melawan hawa nafsu dan keinginan daging.

Pada mulanya dia adalah seorang pelacur, yang mencari kepuasan nafsu semata-mata. Akan tetapi, selepas ziarah sucinya ke Kota Suci Yerusalem, hidupnya berubah. Dia ingin memasuki Gereja Makam Kudus, akan tetapi seolah-olah dihalang oleh sesuatu. Dia mengetahui bahawa kekotorannya membuatkannya tidak layak memasuki tempat suci tersebut dan memohon keampunan dari Tuhan. Dia memperolehnya, dan selepas itu mengambil keputusan untuk hidup sebagai pertapa di padang gurun.   

Santo Yosef

Tarikh Peringatan: 19 Mac
Penaung bagi: Gereja Katolik, Konsili Vatikan ke-2, Para bapa, Mereka yang menghadapi sakaratulmaut.

Beliau adalah suami kepada Perawan Maria, yang mana kisahnya menerima khabar gembira dari Malaikat Gabriel ada ditulis dalam Injil menurut Matius. Menurut tradisi lisan, beliau meninggal dunia dipangkuan Yesus dan menjadikannya juga dia sebagai penaung bagi orang yang menghadap sakaratulmaut. 




Untuk Gereja, Untuk Kristus

Post Pertama!

In Nomine Patris (+) et Filii et Spiritus Sancti. Amen.
(Dalam Nama Bapa dan Putera dan Roh Kudus. Amin.)

Blog ini saya dedikasikan, pertama-tama buat Tritunggal Maha Kudus, Allah Bapa Pencipta Langit dan Bumi, Allah Putera Penebus Dosa Manusia dan Allah Roh Kudus Penghibur Sepanjang Zaman.


Juga didedikasikan buat Bonda Penyelamat kita, Santa Perawan Maria.


Dedikasi istimewa buat para kudus pilihan saya:


Santa Teresa dari Anak Yesus.


Santo Fransiskus dari Assisi


Santo Benediktus dari Nursia



Santo Possenti


Santa Maria Goretti


Santa Maria Orang Mesir


Santo Yosef 

Tujuan saya mencipta blog ini adalah untuk mendedahkan kepada semua orang (terutamanya yang menggunakan bahasa Malaysia dan Indonesia), segala info tentang tradisi dan pengajaran Gereja Katolik (Timur dan Barat), sebelum dan selepas pembaharuan liturgi pada Konsili Vatikan ke-2.

Semoga perkongsian mengenai iman ini membolehkan kita (termasuk saya sendiri) mencintai Tuhan dan Gerejanya, seperti tajuk blog ini: Pro Ecclesia, Pro Christi (Untuk Gereja, Untuk Kristus.)